Ramai dari masyarakat kita yang percaya bahawa bahagian faraj boleh membesar dan menjadi longgar apabila sesuatu dimasukkan ke dalam rongga tersebut. Sebagai contoh apabila  melakukan hubungan intim, penggunaan tampon atau melahirkan bayi. 

Tetapi sebenarnya, itu semua adalah mitos! 

Sebelum berbincang mengenai faraj, penting untuk kita terlebih dahulu mengenali dengan lebih lanjut apa itu  otot lantai pelvik. Jadi, mari kita sama-sama belajar tentang faraj dan otot lantai pelvik.

Organ yang berada di bahagian pelvik kita ialah pundi kencing, rahim, faraj dan juga dubur. Semua organ ini beserta saluran-saluran yang berkaitan, disokong kedudukan dan fungsinya oleh otot lantai pelvik. Kita dapat mengawal air kencing dan najis dari bocor dengan bantuan otot-otot lantai pelvik ini. Selain itu, otot-otot lantai pelvik juga mampu memberi sokongan kepada bayi dalam kandungan.

Faraj pula ialah saluran di antara uterus dan dunia luar (bagi mengeluarkan bayi dan darah haid). Faraj bermula dari bukaan faraj hingga ke pangkal rahim dan ia merupakan satu ruangan tisu kenyal yang disokong oleh otot-otot lantai pelvik.

Menurut pakar kesihatan wanita yang kami rujuk, bukaan dan laluan faraj terdiri dari tisu elastik yang kenyal dan berlipat2. Ini membolehkan laluan tersebut untuk meregang dan memberi laluan kepada bayi semasa detik kelahiran dan juga semasa melakukan hubungan intim. Laluan tersebut akan kembali ke keadaaan asal setelah meregang dengan kewujudan tisu elastik tersebut.

Ada dua faktor utama yang akan memberi kesan pada kekenyalan faraj iaitu:

  1. Umur – apabila umur semakin lanjut, tisu badan juga akan semakin kurang berfungsi. Tisu elastik di laluan faraj juga akan semakin hilang kekenyalan.Tapi ini tidak bermaksud rasa longgar yang terlalu ketara,cuma lebih mudah untuk meregang.
  2. Kelahiran anak – apabila tarikh melahirkan anak semakin hampir, hormon akan menyebabkan faraj dan serviks melembut untuk memberi laluan kepada bayi untuk keluar. Proses melembut dan meregangkan  ini boleh memberi sedikit kesan pada kekenyalan tisu elastik faraj selepas kelahiran anak – tetapi tidak terlalu ketara. 

Seperti yang diterangkan di atas, hanya perubahan biologi seperti faktor umur dan kelahiran anak yang akan banyak memepengaruhi kekenyalan tisu faraj . 

Penggunaan tampon atau menstrual cup yang lembut dan fleksibel mengikut bentuk laluan faraj kita TIDAK cukup kuat, keras atau boleh memberikan reaksi biologi, untuk menukar bentuk dan kekenyalan faraj. TIADA kajian saintifik yang mengatakan penggunaan tampon atau menstrual cup boleh memberikan kesan pada bentuk laluan faraj lalu mengganggu pengalaman intim pasangan.

Kekenyalan faraj juga banyak bergantung pada kekuatan otot lantai pelvik – rasa longgar yang disebut masyarakat merujuk pada otot pelvik yang tidak cukup kuat yang juga tidak lari dari pengaruh faktor umur dan jumlah kelahiran anak. Oleh sebab itu, senaman atau latihan otot pelvik seperti senaman Kegels dilakukan untuk menguatkan lantai otot pelvik bagi menyokong fungsi pengawalan air kencing, pembuangan najis dan kesan yang positif ketika hubungan intim. 

Kesimpulannya penggunaan menstrual cup sebagai alat yang membantu wanita menguruskan haid dengan lebih mudah, jimat dan tidak menjejaskan alam sekitar tidak akan memberikan kesan kepada faraj wanita melainkan dengan cara penggunaan yang tidak mengikut teknik yang betul. Penggunaan menstrual cup juga tidak mempunyai unsur seksual atau menaikkan nafsu syahwat .

Selamat mencuba.

 

Written by: Nor Faizah Zainal Arifin
Reviewed by: Dr. Adi Imran Mohd. Jusoh

Leave a Reply

Your email address will not be published.